Timbalan Pengarah Kejohanan PEKEMA Golf President's Cup 2026, Mohd Hafiz Abdul Rashid, memaklumkan pihaknya sedia menanti kehadiran para peserta yang akan berkampung di Palm Garden Golf Club, Putrajaya bermula 18 hingga 19 Julai ini.
Lebih menarik lagi, kejohanan anjuran Persatuan Pengimport Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000 sekali gus menjadikannya sebagai antara kejohanan golf amatur yang menawarkan hadiah paling lumayan di Malaysia.
Tumpuan utama semestinya terarah kepada cabaran 'hole-in-one', dengan empat buah kereta Dongfeng menanti peserta yang berjaya melakukan pukulan sempurna di lubang ke 7, 12, 14 dan 17.
Hafiz percaya, kejohanan yang bakal memasuki edisi penganjuran ke-12 tahun ini mampu menjadi platform bagi mengeratkan hubungan di antara peserta, komuniti automotif serta korporat selain mempromosikan gaya hidup sihat menerusi sukan golf.
"Kami mempunyai hampir 500 peserta pada tahun ini. Tahun ini melebihi tahun lalu, masih ada slot yang kosong iaitu pada Sabtu petang, lainnya sudah penuh.
"Untuk 'hole-in-one' ada perbezaan tahun ini, ada model baru untuk kenderaan elektrik (EV) jenama Dongfeng iaitu Dongfeng Vigo sebuah SUV.
"Ada peningkatan hadiah cabutan bertuah, untuk nombor empat jumlahnya meningkat daripada empat pemenang kepada lapan pemenang berjumlah RM1000. Biar lebih ramai akan menang." katanya.