SUKAN LAIN
Zylane tanggung derita sejak Sukan SEA
Atlet renang seirama negara, Zylane Lee Yhing Huey, akur apabila terpaksa menjalani pembedahan ekoran kecederaan di bahu kanannya makin serius sejurus berakhirnya temasya KL2017, Ogos lalu.
Urat bahu kanan Yhing Huey terkoyak sejak dia menyertai Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, Julai tahun lalu sehingga memerlukannya untuk menjalani pembedahan segera, Jumaat ini.
Begitupun, demi keinginan tinggi untuk menghadiahkan pingat emas buat negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, dia tetap bertahan meskipun pada ketika itu sedang menanggung kesakitan.
Iklan
Usahanya berbaloi tetapi kini terpaksa menerima hakikat untuk tidak menjalani sebarang latihan atau menyertai mana-mana kejohanan dalam masa terdekat sehingga benar-benar pulih.
"Tiga perempat daripada tendon itu terkoyak, adalah lebih baik saya menjalani pembedahan sekarang sebelum ia terkoyak habis.
"Kecederaan ini sering mengganggu saya ketika berjalan, berlari dan berenang. Malah, ketika belajar dan tidur, saya tidak boleh mengiring ke kanan," katanya.
Tempoh untuk pulih bergantung kepada seseorang atlet itu dan pemenang emas Sukan SEA itu percaya dia mampu kembali berlatih selepas berehat lima bulan biarpun bakal terlepas kejohanan antarabangsa sepanjang April dan Mei depan.
"Proses pemulihan bergantung kepada individu. Doktor di sini memaklumkan ia memerlukan lima hingga enam bulan untuk pulih.
"Bagaimanapun, saya belum pasti lagi, kita akan mengetahui perkembangan selanjutnya selepas beberapa bulan pembedahan," ujarnya lagi.
Must-Watch Video