Skip to main content

Sukan Lain

Zaiton: Sudah tiba masa PJS lebih tegas

zaiton10118.jpg
Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman, memberi amaran keras persatuan sukan bakal  berdepan pembatalan pendaftaran jika masih berdegil untuk melaksanakan mesyuarat agung tahunan (AGM) masing-masing.

Setakat ini, tiga persatuan sukan kebangsaan masih belum mengadakan AGM, iaitu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF).

Namun, Zaiton mendedahkan bahawa terdapat lebih 150 persatuan sukan pada semua peringkat dalam negara yang masih belum melaksanakan AGM.

Katanya, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) mempunyai kuasa untuk membatalkan pendaftaran persatuan terlibat seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian 5, Pendaftaraan dan Penyeliaan Badan Sukan, Akta Sukan 1997.

"Sudah sampai masanya pihak PJS lebih tegas dalam hal ini kerana kami tidak mahu mereka yang memegang jawatan dalam persatuan ataupun peneraju persatuan itu tidur, tidak melaksanakan tugas mereka," katanya.

Tumpuan kini terarah kepada tiga persatuan terbabit kerana jika mereka dibatalkan pendaftaran, atlet di bawah naungan mereka bakal terlepas untuk beraksi dalam kejohanan penting tahun ini seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Saya mahu mengingatkan persatuan sukan kebangsaan, terutamanya, anda perlu berhati-hati dan melaksanakan AGM dengan adil dan saksama. 

"Kami bukan sahaja akan berada di sana untuk memastikan ia terlaksana tetapi tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video