Skip to main content

Gusti

Usaha WWE kembalikan Starrcade undang kritikan

wwe-starrcade.jpg
WWE membuat kejutan apabila mengumumkan yang acara tahunan terbesar World Championship Wrestling (WCW), Starrcade akan kembali disiarkan setelah kali terakhir diadakan pada 17 tahun lalu.

Melalui pengumuman rasmi di laman sesawang WWE.com, acara ini akan diadakan pada 26 November 2017 depan, seminggu selepas acara WWE Survivor Series bersiaran. Ia bakal menampilkan beberapa perlawanan hebat yang dibarisi oleh para bintang dari Smackdown Live.

Bagi menarik perhatian peminat dan melariskan jualan tiket, dua perlawanan Sangkar Besi akan mengambil tempat menampilkan Jinder Mahal menentang Shinsuke Nakamura bagi perebutan Kejuaraan WWE dan Charlotte Flair mengikat janji temu dengan Natalya bagi Kejuaraan Wanita Smackdown.

Senarai perlawanan lengkap turut diumumkan oleh pihak Greensboro Coliseum yang menjadi tuan rumah acara ini melalui catatan di Twitter rasmi mereka:
 

Walau bagaimanapun, usaha WWE untuk mengembalikan nostalgia peminat terhadap organisasi pesaing terhangat WWE di era Perang Malam Isnin pada tahun 1995 hingga 2000 ini mendapat reaksi dingin, terutama daripada Cody Rhodes yang merupakan anak kepada mendiang Dusty Rhodes.

Untuk rekod, acara tahunan Starrcade ini merupakan cetusan idea daripada The American Dream bagi memberikan ruang untuk penyelesaian sengketa terhangat penggusti di National Wrestling Alliance (NWA) dan WCW.

Cody yang kini tidak lagi bersama WWE dan aktif bergusti di sirkit pesaing melalui catatan di Twitter menulis:
 

Pendapat Cody itu juga disokong oleh isterinya Brandi Rhodes yang juga bekas juruhebah gelanggang WWE dengan nama Eden Stiles:
 
Rata-rata peminat juga turut sependapat dengan pasangan suami isteri itu dengan merasakan bahawa acara Starrcade sepatutnya dijadikan acara khas yang lebih besar dan bukan sekadar acara live events biasa yang kebarangkalian untuk ia tidak ditayangkan kepada umum melalui WWE Network adalah tinggi. Ia secara tidak langsung merendahkan martabat nama Starrcade itu sendiri yang pada satu ketika pernah menjadi fenomena hangat di kalangan peminat gusti profesional.

Acara Starrcade mula menjengah ke dalam industri bermula pada tahun 1983 di bawah jenama NWA sehingga tahun 1987. Akibat masalah kewangan, ia diserap masuk ke WCW dan menjadi acara paling dinantikan bagi peminat WCW setiap tahun.

Populariti Starrcade yang diadakan ketika musim perayaan hari kesyukuran (thanksgiving) menyebabkan Vince McMahon tidak senang duduk. Dari situlah timbul idea memperkenalkan acara Survivor Series, khusus bagi mengalih perhatian peminat untuk beralih kepada WWE. Enggan bersaing dengan WWE yang mempunyai jaringan peminat yang lebih luas, acara Starrcade diubah ke bulan Disember bermula pada tahun 1988.



Sejak diperkenalkan, acara yang mendapat jolokan sebagai “The Grandaddy of Them All” ini sentiasa menampilkan perlawanan terhebat yang dikenang sepanjang masa. Antara perlawanan yang pernah mengambil tempat adalah seperti Harley Race menentang Ric Flair dalam perlawanan Sangkar Besi (1983), Ric Flair menentang Sting (1989), Hollywood Hogan menentang Rowdy Roddy Piper (1996), Hollywood Hogan menentang Sting (1997), Goldberg lawan Kevin Nash (1998) dan Goldberg bertemu Bret Hart pada 1999).



Acara ini bersiaran buat kali terakhir pada 17 Disember 2000 menyaksikan Sid Vicious menentang Scott Steiner bagi Kejuaraan Dunia WCW. Selang tiga bulan kemudian, WCW gulung tikar dan kemudian dibeli oleh Vince McMahon seterusnya mendominasi industri gusti profesional hingga kini.


Jika benar WWE ikhlas ingin bernostalgia dan membawa bekas peminat WCW kembali mengimbau kenangan bersama syarikat kendalian Eric Bishoff itu, WWE sepatutnya tidak hanya menggunakan nama acara sahaja. Molek benar pada hemat penulis sekiranya gelanggang dan reka letak arena WCW turut digunakan kerana ia telah diimpikan sejak sekian lama terutama bagi peminat yang membesar dan merindui syarikat yang pernah berpangkalan di Atlanta tersebut.



Jika arena dan gelanggang WCW boleh dihidupkan kembali di dalam siri francais permainan video WWE2K, apalah salahnya ia diterjemahkan ke dunia realiti dengan turut menjemput David Pentzer dan Michael Buffer sebagai juruhebah gelanggang serta Tony Schiavone sebagai pengulas utama. Dalam masa yang sama, ia dapat dijadikan medan penghargaan khas buat bekas rakan regu Tony di meja ulasan WCW, Bobby “The Brain” Heenan yang telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun, semalam.




Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan  saksikan acara WWE No Mercy pada Isnin depan serta pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Advertisement

Must Watch Video