Negeri Sembilan mengembalikan rentak kemenangan apabila berpesta gol 6-1 ke atas pasukan di tangga tercorot, PDRM, dalam perlawanan Liga Super di Selayang sebentar tadi.
Penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin, menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama, sekali gus mengembalikan skuad Jang itu ke landasan kemenangan dalam saingan liga selepas kali terakhir melakukannya ke atas Kelantan The Real Warrior pada 24 Disember lalu.
Advertisement
Penyerang berusia 24 tahun itu membuka jaringan seawal minit keenam tetapi Park Tea-su kemudian mengikat kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-22.
Bagaimanapun, Takumi Sasaki kembali meletakkan pelawat di depan pada minit ke-37 dan Luqman Hakim kemudian sekali lagi menemui sasaran sebelum ke bilik persalinan.
Nasib PDRM kian parah dalam separuh masa kedua apabila Yuichi Hirano melebarkan kelebihan pelawat, hanya lapan minit selepas perlawanan bersambung, dan Sasaki memperoleh jaringan kedua peribadinya pada minit ke-69.
Pertahanan, Khuzaimi Piee, turut menempa nama selaku penjaring untuk melengkapkan malam gemilang The Jangs pada minit ke-78.
Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan kini menduduki tangga keenam liga dengan 22 mata selepas 19 perlawanan.