Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa pendaftaran tiga pemain warisan dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel -- serta pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero, sebagai pemain tempatan adalah selaras dengan Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2025–2026.
Menurut Manual Liga Malaysia Edisi 2025–2026, di bawah Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran dan Pemindahan Pegawai dan Pemain; 3.3 Sistem Maklumat Bola Sepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT), Klausa C: Pemain Tempatan dan Asing, kelab diwajibkan menyerahkan:
Advertisement
1) Salinan berwarna kad pengenalan ATAU pasport bagi setiap pemain.
Keperluan ini juga diperjelaskan melalui surat pekeliling bertarikh 12 Jun 2025 yang ditujukan kepada semua kelab Liga Malaysia, di mana Klausa 8.2 menyatakan dokumen ini mesti dikemas kini dan dimuat naik dalam format PDF untuk kelulusan bagi kategori pemain tempatan dan asing.
Dengan itu, MFL menegaskan bahawa keempat-empat pemain tersebut telah menyelesaikan proses pendaftaran dengan sah menggunakan kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN dan layak didaftarkan sebagai pemain tempatan untuk musim Liga Malaysia 2025–2026.
“Tiada sebarang pelanggaran peraturan berlaku dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab masing-masing musim ini,” kata MFL dalam kenyataan rasmi.
Namun begitu, keempat-empat pemain masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi, keputusan yang telah ditetapkan oleh FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini.
Langkah ini sekaligus menegaskan bahawa walaupun mereka sah didaftarkan sebagai pemain tempatan, penggantungan FIFA/CAS tetap terpakai dan pemain tidak boleh menyertai perlawanan rasmi sepanjang tempoh penggantungan.
