Arena bola sepak tempatan kembali ‘panas’ apabila bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, mencetuskan perhatian ramai menerusi beberapa hantaran Instagram Story yang dipercayai ditujukan kepada seorang pemain bola sepak tanah air.
Dalam perkongsian yang kini mula tular di media sosial, Zaquan meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang individu yang didakwa mula berubah selepas namanya semakin dikenali dalam arena bola sepak.
“Kau jangan ingat sekarang nama kau orang sebut-sebut kau boleh belagak… aku tak mintak duit kau la, aku tanya rate kau berape je… kau ingat aku hamak sangat dengan kau ke??? Budi bahasa kena ada…”
Tidak terhenti di situ, Zaquan turut mengingatkan pemain terbabit supaya tidak terlalu mendabik dada dengan populariti yang dimiliki ketika ini.
“Aku pernah ada dekat tempat kau dulu… aku mungkin tak hebat macam kau, tapi setakat gambar kat billboard dulu aku pernah rasa… so ko tak payah belagak nak cakap rate kau tinggi… kau just bagitau je berape rate kau!!!!”
Lebih menarik perhatian, bekas pemain Johor Darul Ta’zim F.C. itu turut memberi bayangan bahawa pemain berkenaan mungkin baru sahaja menikmati kemuncak karier selepas berjaya melangkah ke final kejohanan besar.
“Ingat kita tak selalu di atas… bila kau berhenti main bola satu hari nanti baru kau tahu langit tinggi ke rendah… masa akan sampai jugak satu hari nanti… tak selamanya kita akan berada di atas…”
“Player yang dah champion 12 cup pun tak sombong macam kau la. Baru masuk final S Cup je pun… nasib baik la JDT tak sign kau… puiiii.”
Hantaran tersebut pantas mengundang spekulasi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan yang mula membuat andaian mengenai identiti pemain dimaksudkan Zaquan. Ada yang mendakwa ia melibatkan isu kadar bayaran penampilan atau endorsement, manakala segelintir lagi percaya berlaku salah faham antara kedua-dua pihak.
Setakat ini, Zaquan tidak mendedahkan secara spesifik nama pemain terbabit dan tiada kenyataan balas dikeluarkan mana-mana pemain yang dikaitkan dengan kontroversi tersebut.
Namun seperti biasa, ‘drama’ luar padang sebegini pasti menjadi bahan perbualan hangat peminat bola sepak Malaysia — lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan figura besar yang pernah mencipta nama di pentas domestik dan antarabangsa.
Persoalannya kini, siapakah pemain yang dimaksudkan Zaquan? Dan adakah isu ini akan berakhir sekadar di media sosial atau bakal berlanjutan menjadi episod panas baharu dalam bola sepak tempatan?