Sokongan psikologi menjadi antara aspek penting dalam membantu pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2026, Muhammad Hafizuddin Roslin, bangkit mengharungi ujian hidup selepas kehilangan lengan kanan dalam satu kemalangan motosikal baru-baru ini.
Pakar psikologi sukan, Nor Azura Mat Nasir, kini berada di sisi Hafizuddin sejak hari kedua kejadian bagi membantu memulihkan keadaan emosi atlet berkenaan.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Malam tadi juga dia (Hafizuddin) tidak cukup tidur, mungkin disebabkan emosi dan trauma.
"Kami sebenarnya amat bertuah kerana Puan Azura selaku pakar psikologi sentiasa membantu sejak hari kedua (selepas kemalangan itu) sehingga kini.
"Sebelum ini juga, dia pernah berkhidmat dengan sukan angkat berat dan amat rapat dengan atlet angkat berat, terutama Udin.
"Dengan bantuan dan bimbingannya, keadaan Udin sudah bertambah baik."