Tiga lelaki akan didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan memalsukan catatan masa perlumbaan finswimming bagi proses pemilihan ke Sukan SEA 2023.
CNA melaporkan pihak polis telah dimaklumkan mengenai kes itu oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), yang membuat laporan mengenai dakwaan pemalsuan keputusan catatan masa oleh Persekutuan Bawah Air Singapura (SUF).
Advertisement
Ini menyaksikan enam atlet SUF terpilih oleh SNOC untuk acara finswimming Sukan SEA 2023 di Kemboja.
“Siasatan mendedahkan bahawa pada Januari 2023, tiga lelaki terbabit, yang merupakan jurulatih SUF,
didakwa telah memalsukan keputusan perlumbaan atlet SUF daripada satu acara finswimming di luar negara,” kata pihak polis dalam satu kenyataan media.
“Ketiga-tiga lelaki tersebut telah berpakat untuk menyerahkan dokumen yang mengandungi keputusan palsu ini kepada SNOC sebagai rayuan penyertaan, yang menyebabkan enam atlet SUF terpilih untuk menyertai temasya tersebut. Enam atlet ini tidak akan terpilih jika bukan kerana keputusan yang dipalsukan itu.”
Suspek berkenaan, yang masing-masing berusia 33, 35 dan 56 tahun, akan didakwa atas dakwaan penglibatan mereka melakukan pemalsuan bagi tujuan menipu.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.