Skip to main content

Sukan SEA

Triatlon: Irene raih gangsa, Shinozuka terlepas peluang

irene-chong.jpg
Atlet triatlon, Irene Chong, menghadiahkan pingat gangsa buat negara selepas menduduki tangga ketiga kategori individu wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam perlumbaan di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya, hari ini.

Dia mencatatkan masa 2 jam 25 minit 44 saat untuk berada di belakang dua wakil Filipina, Marion Kim Mangrobang dan Maria Claire Adorna.

Kejayaan itu menyaksikan Irene berjaya menebus kekecewaannya di Singapura dua tahun lalu, selepas terlepas peluang meraih pingat di tangan pemenang tempat ketiga, Sarunthai Arunsiri dari Thailand.

"Saya telah mencuba sedaya-upaya selepas mempersiapkan diri selama 35 minggu dan banyak berkorban serta menanggung keperitan.

"Saya tidak kesal kerana telah memberikan aksi terbaik dan sangat gembira dengan rakan sepasukan yang turut melakukan aksi terbaik.

"Saya percaya kami mampu menampilkan prestasi yang lebih baik lagi pada masa akan datang," katanya.

Seorang lagi atlet triatlon negara, Zoe Bourden, berpuas hati dalam penyertaan pertamanya dalam Sukan SEA walaupun gagal meraih sebarang pingat.

"Ini merupakan jarak Olimpik kedua saya.

"Pengalaman saya cetek jika dibandingkan dengan pesaing lain yang mempunyai 10 tahun pengalaman.

"Saya tidak tertekan dan sangat gembira," ujar Zoe.

Bagi kategori lelaki, Rikigoro Shinozuka kempunan untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun 2015 selepas sekadar menduduki tangga kelapan, sekaligus terlepas peluang mengutip pingat buat Malaysia.

Wakil dari Filipina, Nikko Bryan Huelgas, meraih emas dengan catatan masa 1'59:30, diikuti oleh rakan senegara, John Chicano, yang mencatat 2'01:27, sementara Chong Sheng Ren (Singapura) merekodkan masa 2'03:24 untuk membawa pulang gangsa.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Advertisement

Must Watch Video