Skip to main content

Hoki

TLHT benam cabaran Kulim

2217tlht1.jpg
Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) memulakan saingan TNB Liga Hoki Wanita Malaysia dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Kelab Hoki Kulim di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang ini.

Tuan rumah bermula garang dengan asakan seawal minit kedua, namun pukulan Wan Norfaiezah Md Saiuti tinggi melepasi pintu gol pelawat.

Asakan bertali arus TLHT membuahkan hasil pada minit kesembilan selepas Nurain Fatihah Salleh bijak membuat penyudah mengelirukan penjaga gol Kulim, Nur Nasirah Mohd Zaidy, untuk jaringan pertama pasukannya.

Pada suku kedua TLHT menambah gol menerusi jaringan padang penyerang kebangsaan, Hanis Nadiah Onn, pada minit ke-16  yang membuat pukulan kencang untuk menggandakan jaringan 2-0.

Pakar pukulan sudut penalti, Nuraini Abdul Rashid, meletakkan TLHT terus selesa tiga gol di depan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

Kedudukan terus berpihak kepada tuan rumah yang mendapat gol keempat pada minit ke-27 melalui jaringan padang Siti Rahmah Othman, sebelum Nor Syafiqah Mohd Zain menjadikan kedudukan 5-0 dengan memanfaatkan pukulan sudut penalti seminit kemudian.

Deretan peluang demi peluang terhidang buat TLHT pada babak berikutnya menyaksikan Nuraini menjaringkan gol kedua peribadi dan gol keenam pasukannya menerusi jaringan padang pada minit ke-53.

Kemenangan ini jelas menjadi tonik terbaik skuad kendalian Mohd Aseri Abd Aziz yang akan bertemu satu lagi pasukan pilihan, Blue Warriors, di gelanggang sama, Isnin ini.

Advertisement

Must Watch Video