Skip to main content

Sukan Lain

Tiga atlet bina badan Sarawak berentap dalam Mr World di Mongolia

mr-world.jpg
Tiga atlet bina badan Sarawak layak untuk beraksi dalam kejohanan berprestij "Mr World" di Mongolia bulan depan setelah membawa pulang pingat dalam Kejohanan Bina Badan Asia Ke-29 di Seoul, Korea Selatan, Sabtu lalu.

Dalam kejohanan "Mr Asia" tersebut, kontijen Malaysia mengutip dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa daripada kalangan 30 negara yang mengambil bahagian.

Dr Malvern Abdullah muncul wira apabila menuai emas dalam kategori flyweight (bawah 60kg) manakala Buda Anchah memungut perak untuk kategori lightweight (bawah 70kg).

Awang Mohd Azizul membawa pulang dua pingat gangsa apabila muncul pemenang ketiga untuk kategori masters dan welterweight (bawah 75kg).

Satu lagi pingat emas negara dituai Mohd Syahrul Azman Mahen dari Kuala Lumpur untuk acara athletic physique 167sm.

Menurut Dr Malvern, saingan kali ini agak mencabar baginya kerana perlu berhadapan dengan pencabar hebat dari negara tuan rumah, Korea Selatan, selain atlet Myanmar, China, Afghanistan, Vietnam dan India.

“Saya gembira dengan kemenangan ini dan berharap dapat mengekalkan momentum dalam kejuaraan dunia di Mongolia bulan hadapan," katanya yang ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Snowdan Lawan, berkata kejayaan yang dirangkul peserta kelahiran Sarawak ini amat membanggakan.

"Sarawak pernah menikmati kemasyhuran dalam sukan ini dengan melahirkan jaguh seperti Solomon Esmanto dan Bujang Taha.

"Justeru, saya berharap mereka dapat menggandakan usaha untuk mengulangi kejayaan dua legenda ini, seterusnya membawa balik gelaran dunia ke negeri ini," katanya lagi.

Mengenai insentif yang akan diberikan kepada tiga atlet ini, Snowdan berkata ia akan dibincangkan kemudian, berkemungkinan selepas aksi mereka di Mongolia.

Dalam kejohanan yang sama tahun lalu, kontijen Malaysia membawa pulang dua  emas.
 

Advertisement

Must Watch Video