Skip to main content

Sukan Lain

Tiada masalah beraksi tanpa Poad

khairul30118.jpg
Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, mampu mengharungi cabaran andai jurulatih, Mohd Poad Md Kassim, tidak dapat mengiringinya ke Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Khairul Hafiz sedar keadaan Poad ketika ini yang masih dalam proses pemulihan sepenuhnya selepas terlantar di hospital tahun lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Walaupun sudah keluar daripada hospital, Poad masih lagi perlu berehat secukupnya bagi mendapatkan tenaga untuk kembali melatih barisan atletnya.

Justeru, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 berkenaan memahami situasi itu untuk ke Gold Coast tanpa jurulatihnya dan tetap fokus melakar kejutan di sana.

"Dia selalu ajar dalam latihan, jadi kami akan ikutlah. Saya akan cuba yang terbaik walaupun jurulatih tidak sihat. Saya akan buktikan yang terbaik walaupun beraksi tanpanya," katanya.

Kejohanan pra-Sukan Asia di Jakarta bulan depan menjadi kejohanan pertama luar negara untuk Khairul Hafiz, bagaimanapun, dia hanya akan beraksi dalam acara 4x100m.

"Ia sebahagian strategi jurulatih untuk ke Sukan Asia nanti. Saya akan ikut, kalau diminta bermain untuk 100m, saya akan buat, kalau dia kata 4x100, saya akan ikut," ujarnya.

Khairul Hafiz muncul pelari terpantas Asia Tenggara apabila melakukan 10.38s untuk pingat emas 100m dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Dia juga pemegang rekod kebangsaan acara 200m.

Advertisement

Must Watch Video