Skip to main content

Gusti

Tiada lagi ‘sembang kencang’ Enzo di WWE

enzo-amore.jpg
Ketika rakan-rakan sekerja yang lain bergembira menyambut ulangtahun acara WWE Raw ke 25 tahun semalam, situasi berbeza buat Juara Cruiserweight WWE, Enzo Amore.

Enzo atau nama sebenarnya, Eric Arndt terpalit dengan kontroversi apabila seorang wanita bernama Philomena Sheahan mendakwa telah menjadi mangsa pemerkosaan Enzo dengan dua orang lagi rakannya pada Oktober tahun lalu di sebuah hotel di Phoenix, Arizona.

Menurut Sheahan, laporan polis telah dibuat beberapa hari selepas insiden tersebut berlaku dan proses siasatan masih berjalan sehingga kini tanpa sebarang perubahan.



Berikutan pertuduhan berat ini, pihak WWE telah memutuskan untuk menggantung Enzo dan menarik balik Kejuaraan Cruiserweight yang kini sedang disandangnya. Malang sekali, 24 jam selepas itu, pihak WWE membuat pengumuman rasmi yang Enzo telah dilepaskan serta-merta tanpa sebarang perincian lanjut.
 

Enzo melalui peguamnya telah membuat kenyataan balas dengan menafikan tuduhan wanita tersebut. Menurut kenyataan ini, Enzo menafikan sekeras-kerasnya segala pertuduhan jenayah tersebut dan berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sehinggalah siasatan kes ini selesai.
 

Terdapat pihak yang mempertikai dan mendakwa WWE bertindak terlalu terburu-buru dengan memecat Enzo walaupun tuduhan tersebut masih belum sahih dan dalam peringkat siasatan. Namun menurut Sean Ross Sapp dari portal Fightful.com, Enzo telah mengetahui tentang pertuduhan ini sejak beberapa bulan lalu, namun enggan memaklumkan perkara ini kepada pegawai WWE, menyebabkan pihak WWE berasa berang dan kecewa dengan tindakan tersebut.

Tindakan WWE ini sememangnya bukanlah sesuatu yang pelik. Beberapa bekas bintang mereka turut menerima nasib yang sama seperti Rich Swann dan Hulk Hogan. Ini tidak lain sebagai menjaga kredibiliti dan imej korporat mereka daripada tercalar kerana tindak tanduk pekerja mereka.

Enzo dilaporkan telah menghadiri acara Raw semalam dan berada di belakang tabir. Menariknya, sumber menyebut yang Enzo mengenakan baju T yang seakan-akan telah membayangkan nasib malang yang akan menimpanya.
 

Enzo sebagai Juara Cruiserweight WWE sebanyak dua kali telah dijadualkan untuk menentang Cedric Alexander di acara WWE Royal Rumble pada 29 Januari depan. Perkembangan terkini ini pastinya akan mengubah lanskap divisyen Cruiserweight di mana juara baharu akan dimahkotakan setelah Enzo mengosongkan kerusi sang juara.

Enzo yang tidak mempunyai sebarang pengalaman bergusti sebelum menyertai WWE telah dilatih serta diserapkan di jenama NXT sejak 2012. Beliau yang mempunyai kelebihan dan kemahiran bercakap di atas gelanggang telah digandingkan dengan Big Cass dan telah sama-sama dinaiktaraf ke roster utama di bawah jenama Raw pasca acara Wrestlemania 32 pada tahun 2016.



Sejak menyertai roster utama WWE, Enzo dikatakan telah mendatangkan rasa ‘panas’ di kalangan beberapa bintang WWE lain kerana sikap dan mulut lantangnya yang menyamai karakternya di dalam gelanggang. Sembang kencang, berlagak dan sering bermegah-megah dikatakan antara sikap Enzo yang telah mendatangkan kejengkelan di hati kakitangan lain. Sehingga satu ketika beberapa bulan lalu, Enzo juga dikatakan telah dihalau turun dari bas jelajah WWE kerana bersikap kurang sopan di dalam bas.

Kemenangannya sebagai Juara Cruiserweight WWE juga mendapat kritikan meluas oleh WWE Universe. Dengan gaya bergusti di bawah par dan sering menjadi belasahan, Enzo dilihat kurang layak untuk bergelar juara dan menaikkan namanya sebagai juara seolah-olah merendahkan martabat divisyen Cruiserweight.



Walaupun penulis secara peribadi memang agak tidak berkenan dengan karakter Enzo Amore ini, namun terbit juga rasa simpati terhadap nasib yang menimpanya. Tidak dinafikan, hidup dalam dunia penuh kemasyhuran kadang kala mudah menyebabkan seseorang itu alpa dan tidak mampu membuat pertimbangan yang sewajarnya. Walau apapun, pertuduhan ini masih dalam siasatan dan Enzo hanya bersalah sekiranya terbukti beliau melakukan segala dakwaan yang dihadapinya.

Semoga Enzo tabah, insaf dan menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Royal Rumble 2018 pada 29 Januari ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 
 
 

Advertisement

Must Watch Video