Skip to main content

Hoki

THT raih kemenangan penting

150217tht.jpg

Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus menghimpit Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di tangga teratas Liga Perdana Hoki Malaysia (MHL-TNB) selepas menang 3-0 ke atas TNB Thunderbolt di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang tadi.

Babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan sehingga bersambung ke suku kedua apabila THT mendahului menerusi jaringan padang Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-16.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun, hampir menggandakan jaringan buat tuan rumah tetapi pukulan sudut penaltinya pada minit ke-19 digagalkan penjaga gol Thunderbolt, Hairi Abdul Rahman.

THT dihadiahkan pukulan penalti strok pada minit ke-30, namun gagal dimanfaatkan Jang Jonghyun, menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa.

Thunderbolt terus gigih mencari gol penyamaan dengan melakukan serangan balas dan hampir memerangkap tuan rumah, sebaliknya dikecewakan ketumpulan penyudah.

Peluang terbaik Thundebolt untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-48 menerusi Mohammad Akhimullah Anuar Esook, malangnya pukulannya tinggi melepasi pintu gol tuan rumah.

Gol kedua THT menyusul pada minit ke-56 hasil jaringan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang menyambung hantaran Valentin Verga sebelum Nicolas Enrique Della Torre menjadikan kedudukan 3-0 dua minit sebelum tamat perlawanan.

Advertisement

Must Watch Video