Skip to main content

Hoki

THT mampu dominasi LHM tanpa Faizal

080217-pemain-tengah-tht-fitri-saari.jpg
Terengganu Hockey Team (THT) berdepan Tenaga Nasional Berhad (TNB), petang ini dengan persoalan mampukah mereka mempertahankan takhta Liga Hoki Malaysia (LHM) tanpa penyerang utama, Faizal Saari, yang mengalami kecederaan hamstring. 

Faizal tercedera ketika membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Kuala Terengganu, Ahad lalu. 

Dia disahkan mengalami kecederaan hamstirng dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga minggu. 

Ini bermakna THT terpaksa melupakan khidmat Faizal untuk baki perlawanan musim ini. Situasi itu menjadi cabaran besar buat THT mempertahankan gelaran juara liga. 

Bagaimanapun, pemain tengah, Fitri Saari, tetap menaruh keyakinan penuh THT mampu mengekalkan rentak cemerlang mereka. 

"Ketiadaan Faizal mungkin mencacatkan sedikit rentak permainan kami, tapi dengan kebolehan bantuan pemain lain, kami mampu mengharungi baki cabaran nanti. 

"Dengan pengalaman yang ada pada Valentin Verga, saya percaya dia mampu membantu kami untuk kekal di takhta liga," ujarnya. 

Peluang Faizal untuk membantu Malaysia ke pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, bermula 4 Mac depan juga dilihat samar. 

THT mendahului liga dengan 22 mata selepas lapan perlawanan dan masih belum tewas. 

Bagaimanapun, mereka diekori rapat Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang hanya dipisahkan dua mata dan bakal menyaksikan mana-mana pasukan yang tercicir mata untuk baki enam perlawanan berikutnya akan berputih mata menjuarai liga. 
 

Advertisement

Must Watch Video