Skip to main content

Hoki

THT kekal kuasai liga biarpun diikat TNB

8217tnb_tht.jpg
TNB 1 THT 1

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mengikat Pasukan Hoki Terengganu (THT) 1-1 dalam aksi Liga Premier Hoki Malaysia (MHL-TNB) di Stadium Hoki Pantai, hari ini.


Keputusan itu, bagaimanapun, tetap menyaksikan THT kekal memimpin saingan liga dengan mengumpul 23 mata selepas sembilan perlawanan.

Ketua jurulatih TNB, Muhamad Amin Rahim, berkata barisan pemainnya berjaya mempamerkan aksi terbaik dengan mengekang segala serangan THT.

"Bagi saya, ia adalah perlawanan yang baik hari ini walaupun sebenarnya pemain boleh memberikan aksi lebih garang. Satu mata yang diraih hari ini cukup bermakna.

"Selepas tewas 1-6 kepada THT dalam perlawanan sebelum ini, kami melakukan penilaian untuk melihat kelemahan dan kekuatan yang ada pada THT.

"Harap setiap pemain dapat mengekalkan momentum ini untuk terus mencabar pasukan teratas liga," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Muhammad Amirul Mirza Norzi meletakkan THT di depan pada minit ke-10 menerusi jaringan padang.

Usaha TNB untuk mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila Muhamad Ramadan Rosli menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

Sementara itu, dalam aksi di Stadium SSTMI, UniKL mensia-siakan peluang untuk meraih tiga mata penuh selepas sekadar seri tanpa jaringan ketika bertemu TNB Thunderbolt.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, berkata barisan pemainnya terlalu bersahaja dalam perlawanan itu sehingga hampir menghukum diri sendiri.

"Sekurang-kurangnya kami meraih satu mata berbanding tewas. Kami memperoleh empat pukulan sudut penalti tetapi gagal untuk menyempurnakan kesemuanya," katanya. 
 
Keputusan hari ini:

TNB 1 THT 1

TNB Thunderbolts 0 UniKL 0

SSTMI 1 Maybank 3

UiTM-KPT 1 KLHC 9

Advertisement

Must Watch Video