Selepas berehat selama lapan hari, ketua jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sarjit Singh, yakin pemain-pemainnya kini pada tahap kecergasan terbaik untuk berdepan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang ini.
“Tempoh rehat itu telah digunakan sebaik-baiknya untuk memperkemaskan corak dan rentak permainan serta memberi peluang kepada semua pemain kembali memulihkan tenaga mereka.
“Pasukan ini dalam keadaan terbaik dan apa yang diperlukan ialah kami turun beraksi dengan satu persembahan yang bagus.
“Untuk mengekalkan kejuaraan, setiap perlawanan adalah penting dan kami perlu mengutip tiga mata penuh bertemu TNB.
“Saya tetap menjangkakan saingan sengit kerana pasukan lawan adalah satu pasukan yang bagus dan dibarisi pemain-pemain yang mampu menghukum kami,” ujar Sarjit.
Pendahulu Liga Premier Hoki Malaysia (MHL-TNB) itu juga akan diperkuatkan pemain kebangsaan Belanda, Valentin Verga, yang akan membuat penampilan sulung dalam aksi petang ini.
“Verga sudah tiba dari tugasan bersama pasukan kebangsaannya yang kini dalam persiapan menghadapi Liga Hoki Dunia dan sudah menjalani latihan bersama THT.
“Kehadirannya diharapkan mampu memantapkan pasukan ini dan meskipun dia baharu menjalani satu sesi latihan bersama kami, Verga akan berada dalam skuad ini untuk bertemu TNB,” akhirinya.