Skip to main content

Hoki

THT dera SSTMI 10-1

5217tht.jpg
Empat gol Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan hatrik Jang Jonghyun membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 10-1 dalam saingan Liga Premier Hoki Malaysia (MHL-TNB) di Kuala Terengganu, petang tadi.

Tuan rumah hanya memerlukan seminit untuk membuka tirai jaringan menerusi jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin sebelum Ismail Abu menggandakan kedudukan juga menerusi gol padang (m-8).

Kedudukan menjadi 3-0 melalui pemain import dari Argentina, Nicolas Enrique Della Torre, yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-12.

Tengku Ahmad Tajuddin kemudian menambah koleksi jaringan peribadi dengan gol keempat THT lima minit selepas itu.

SSTMI tidak dapat membendung serangan pasukan tuan rumah selepas bolos buat kali kelima pada minit ke-20 menerusi jaringan padang Muhammad Firhan Ashaari.

Pakar pukulan sudut penalti, Jonghyun, menjadikan kedudukan 6-0 dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit sebelum babak pertama tamat.

Bersambung separuh masa kedua, THT menambah empat lagi gol melalui jaringan Tengku Ahmad Tajuddin (m-30, 56) dan Jonghyun (m-33, 39).

Gol sagu hati SSTMI hadir dua minit sebelum tamat perlawanan hasil jaringan padang Muhammad Shahrin Izzudin Shamsuri.

THT kini mengumpul 22 mata daripada lapan perlawanan dan akan bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) di gelanggang lawan, Rabu ini.

Advertisement

Must Watch Video