Skip to main content

Sukan Lain

Thomas idam lebih banyak kejuaraan utama

thomas-justin-usnews-getty-ftr_4eovugru740g1n0m7ji3ctvuy.jpg
Justin Thomas merangkul Trofi Wanamaker di lubang ke-18 Quail Hollow selepas berjaya menjuarai gelaran utama pertamanya -- Kejohanan PGA Amerika Syarikat, hari ini.

Pemain ranking ke-14 dunia itu mencatat tiga pukulan bawah par 68 untuk mengatasi pemain lain di Charlotte, North Carolina.

Meskipun kemenangan sulungnya berpunca daripada beberapa pukulan yang baik, Thomas mengakui pukulan birdie pada lubang ke-13 par tiga sebagai detik yang paling diingatinya.

"Pukulan pada lubang 13 itu mungkin yang paling berani pernah saya lakukan di lapangan golf," kata Thomas selepas selesai pusingan akhir.

"Saya tertarik untuk melihat bagaimanakah saya melakukannya. 

"Hari ini cukup gila. Siapa yang menonton perlawanan ini, tidak kira di lapangan mahupun di depan kaca televisyen, mesti sukar untuk mempercayai apa yang berlaku hari ini."

Penonton yang hadir turut melihat beberapa pemain bintang cuba untuk menemui Thomas bagi menyampaikan ucapan tahniah ketika di lubang 18.

Rickie Fowler dan Jordan Spieth turut sama meraikan kejayaan sahabat mereka.

"Saya juga akan lakukan perkara sama untuk mereka," ujar Thomas.

"Saya tidak percaya Bud Cauley akan tunggu sehingga perlawanan berakhir. Dia antara sahabat baik saya. Kami tinggal bersama di Florida. Dia baru selesai membuat pukulan dan hendak menandatangani kad kiraan mata miliknya. Jadi, dia berdiri di lubang 18 dan tidak tahu apa yang akan berlaku."

Thomas berasakan tindakan Cauley itu mencerminkan senario semasa Jelajah PGA dan bagaimana pemain muda mengambil berat terhadap satu sama lain.

"Kami semua mahukan kemenangan. Kami mahu menewaskan pemain lain tetapi jika gagal melakar kemenangan, sekurang-kurangnya kita menikmati kejayaan bersama rakan pemain yang lain. Dengan cara itu, kami semua dapat menikmati sukan ini bersama."

Thomas turut menegaskan kemenangan sulung ini bakal menjadi penyuntik semangat buatnya memburu lebih banyak kejuaraan.

"Saya berharap dapat menjuarai lebih banyak kejohanan utama," tambahnya. 

"Saya sangat teruja dengan kejayaan ini. Ini adalah hari yang cukup bermakna bagi saya. Siapa tahu apa yang akan berlaku selepas ini.

"Kita semakin menghampiri penghujung tahun. Kemenangan ini meletakkan saya dalam keadaan yang lebih baik bagi mengharungi Piala FedEx dan Play-off."

Advertisement

Must Watch Video