Skip to main content

Sukan SEA

Terjun: Tiada rehat panjang buat Pandelela

pandelela-290817.jpg
Penerjun sensasi negara, Pandelela Rinong, hanya mempunyai satu minggu untuk berehat selepas selesai beraksi di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebelum kembali mempersiapkan diri untuk menghadapi tiga kejohanan Grand Prix (GP), bermula Oktober depan. 

Misi Pandelela dalam Sukan SEA telah berakhir apabila dia berjaya meraih pingat emas dalam dua acara yang disertainya, iaitu berpasukan dan 10 meter platform individu. 

Namun, tiada cuti panjang buat penerjun berusia 24 tahun itu apabila bakal beraksi dalam Kejohanan GP Terjun yang bermula di Kuala Lumpur, disusuli Singapura dan Australia pada November. 

"Saya masih mempunyai pertandingan lagi, iaitu GP Malaysia dan seterusnya di Singapura dan Australia. 

"Jadi, saya cuma boleh berehat kurang seminggu sebelum kembali menyambung sesi latihan," kata atlet kelahiran Sarawak itu. 

Berjaya mengekalkan emas kelimanya dalam acara 10m platform individu, Pandelela tetap menganggap ia masih lagi bukan aksi terbaiknya berbanding empat edisi Sukan SEA sejak 2009. 

Begitupun, ia tetap akan menjadi Sukan SEA paling bermakna yang merupakan penampilan ketujuhnya kerana berjaya merealisasikan harapan penyokong yang mahu menyaksikan kejayaannya di depan mata. 

"Sebenarnya saya agak terkilan sikit kerana terjunan saya tidak berapa baik. 

"Ada satu atau dua terjunan yang saya rasa boleh diperbaiki lagi."


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

 

Advertisement

Must Watch Video