Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka Selangor: Suryani raih emas kedua

suryani141217.jpg
Kejayaan meraih emas dalam Kejohanan Menembak Terbuka Selangor mencerahkan peluang Abdul Hadi Abdul Malek untuk kembali dalam skuad negara bagi program tahun 2019 tatkala
Nur Suryani Taibi terus unggul dengan merangkul emas kedua acara 10 meter air rifle wanita pada hari terakhir saingan, hari ini.


Suryani, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), cemerlang mengungguli acara itu dengan bidikan 248.1 mata yang juga merupakan rekod kejohanan akhir yang baru, menewaskan Nur Fatin Shahira dari Perak dengan perbezaan 2.9 mata.

Ini merupakan pingat emas keduanya selepas memenangi acara 50m air rifle tiga posisi terlebih dahulu pada hari pertama saingan.

Suryani menyifatkan kejohanan pertama bagi tahun 2018 ini ibarat langkah kanan untuknya menilai prestasi semasanya dengan lebih baik.

"Di sebalik kurang menjalani latihan, saya cuba menyesuaikan diri dengan secepat mungkin untuk meraih kejayaan dalam saingan kali ini," katanya.

Berada dalam senarai tujuh atlet ke Sukan Komanwel Gold Coast, hanya Suryani yang masih kekurangan latihan berbanding enam atlet lain.

Mula menjalani latihan penuh di Majlis Sukan Negara (MSN) bulan ini, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow itu perlu mengekalkan prestasi untuk mengelak perubahan senarai nama berlaku.

"Selepas tersenarai untuk beraksi dalam Sukan Komanwel, saya dapat menjalani semula latihan dan saya berharap dapat segera meningkatkan lagi prestasi untuk membuat persiapan ke Gold Coast," tambahnya.

Abdul Hadi yang mewakili Polis Diraja Malaysia mengungguli acara 50m free pistol lelaki selepas bersaing sengit dengan penembak dari Negeri Sembilan, Wafiq Muhammad
dengan bidikan 220 mata.

Ini adalah kejayaan buat kali keempatnya dalam kejohanan kebangsaan sejak tahun lalu dan mengharapkan pencapaian itu berhasil untuk menempatkan Hadi ke dalam skuad
negara.

"Saya masih lagi menunggu untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan. Saya berharap untuk diserapkan semula," kata Hadi.

Advertisement

Must Watch Video