Skip to main content

Sukan Lain

Terbuka Australia: Kecederaan Chung buka jalan mudah Federer ke final

260118federer.jpg
Juara bertahan, Roger Federer, melangkah ke final Terbuka Australia selepas mengetepikan bintang muda, Chung Hyeon, yang terpaksa menarik diri di pertengahan perlawanan kerana kakinya melecet teruk.

Federer mendominasi Chung dalam pertembungan di Rod Laver Arena itu, dengan memenangi set pertama 6-1 sebelum mengulangi persembahannya dalam set kedua dengan mendahului 5-2 sebelum lawan dari Korea Selatan itu gagal meneruskan perlawanan apabila kaki kirinya melecet.

Mengulas selepas perlawanan berakhir, Federer memberi pujian kepada Chung yang dianggapnya seorang pemain berkualiti dan memiliki masa depan yang cerah.

“Saya mengetahui terdapat masalah yang dihadapi Chung dalam set kedua. Tetapi dia seorang pemain berbakat dan saya berasakan dia mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Federer akan bertemu Marin Cilic dalam final, Ahad ini, dalam misinya merangkul gelaran grand slam ke-20.

Pertembungan di antara Federer dan Cilic merupakan aksi ulangan buat kedua-dua pemain apabila kali terakhir bertemu dalam final Wimbledon tahun lalu yang dimenangi bintang Switzerland itu tetapi Federer menjangkakan aksi yang berbeza kali ini.

"Dia merupakan seorang pemain yang memiliki kekuatan dalam setiap aspek, saya telah menewaskannya ketika final Wimbledon tahun lalu, saya menjangkakan saingan yang berbeza daripadanya Ahad ini," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video