Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Terengganu yakin raih emas pertama boling tenpin

sukmaterangganu18119.jpg
Persiapan skuad boling tenpin Terengganu kini memasuki fasa akhir dalam misi memenangi pingat emas pertama daripada sukan itu dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Perak, September ini.

Menurut jurulatihnya, Mat Salleh Jailani, seramai enam atlet lelaki dan enam wanita akan disenaraipendekkan pada penghujung Mac ini untuk menggalas cabaran negeri itu.

Sambil mengakui berdepan cabaran besar membimbing kem Terengganu, bekas jurulatih negeri Selangor itu tetap optimis dengan persiapan rapi yang dilakukan sejak setahun lalu.

“Atlet-atlet terpilih akan dibawa menyertai 12 kejohanan serta sesi latihan di dalam dan luar negara.

“Saya lihat barisan sedia ada memiliki potensi untuk merealisasikan sasaran satu pingat emas selain satu tambahan pingat yang diletakkan persatuan,” ujarnya.

Harapan Persatuan Boling Tenpin Negeri Terengganu (PTBNT) sudah pasti diletakkan di bahu Halil Hamed Hamzah, pemenang pingat perak acara berpasukan lelaki pada edisi 2016.

Bakal menjadi pentas Sukma terakhir buatnya, Halil turut senada dengan jurulatihnya dengan peluang memperbaiki pencapaian di Sarawak.

Atlet berusia 20 tahun itu menyifatkan latihan intensif berterusan mampu membuahkan hasil buat kontinjen Terengganu.

“Berbanding temasya dua tahun lalu, persiapan kali ini lebih baik dan kami yakin mampu berada pada prestasi terbaik.

“Ramai atlet negeri lain juga sudah melepasi had umur. Jadi, peluang agak seimbang, saya akan fokus terutama dalam acara kegemaran, iaitu perseorangan,” kata Halil.

Mat Salleh dan Halil ditemui selepas majlis ramah mesra PTBNT bersama papa dan Jabatan Angkat Sukma XIX 2018 di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, kelmarin.
 

Advertisement

Must Watch Video