Skip to main content

Sukan Lain

SUKIPT 2018: UMS hantar 18 atlet

sukipt-sabah.jpg
Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menghantar 18 atlet dan tujuh pegawai bagi menyertai Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dari 2 hingga 10 Februari ini.

Antara sukan yang akan disertai UMS ialah taekwondo, silat, karate, boling tenpin, petanque dan olahraga.

Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, berkata UMS hanya menyasarkan dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

"Sasaran itu adalah relevan bagi kami kerana SUKIPT turut disertai atlet-atlet kebangsaan," katanya dalam majlis penyerahan bendera UMS kepada kontinjen berkenaan, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UMS, Prof Dr Ismail Ali, yang mewakili Naib Canselor UMS.

Ketika menyampaikan amanatnya, Ismail berharap atlet yang mewakili universiti itu akan bertanding dengan semangat juang yang tinggi.

Beliau turut mengumumkan akan memberi insentif yang hebat kepada atlet yang cemerlang dalam kejohanan itu.

Untuk rekod, UMS menduduki tempat ketujuh daripada 114 institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai edisi kedua SUKIPT pada 2016 walaupun hanya menghantar seramai 20 atlet.
 

Advertisement

Must Watch Video