Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Yew Fai masih belum tetap sasaran

yeww.jpg
Jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai, belum dapat meletakkan sasaran awal mengenai peluang atlet negara dalam Sukan SEA Filipina selepas beberapa acara pilihan tidak dipertandingkan oleh penganjur.

Sukan wushu sentiasa menjadi antara penyumbang pingat buat kontinjen negara di pentas Sukan SEA dan dua tahun lalu di Kuala Lumpur, skuad kebangsaan memperoleh enam emas, lima perak dan tiga gangsa.

Kisah berbeza dijangka akan berlaku dalam edisi di Filipina hujung November depan dengan penganjur bertindak menggugurkan beberapa acara.

"Kami masih belum memiliki sebarang sasaran. Kini, apa yang kami tahu Filipina telah menggugurkan acara di mana Malaysia memiliki kelebihan. Namun, kami akan cuba yang terbaik kerana Malaysia juga mempunyai kemampuan dalam acara lain. Kami harap boleh mencapai keputusan yang baik," kata Yew Fai.

Seramai sembilan atlet elit berada dalam program latihan tahun ini susulan mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) membabitkan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bulan lalu.

Ketiadaan dua atlet berpengalaman, Loh Jack Chang, dan Diana Bong yang bersara juga tidak menjejaskan kekuatan skuad sedia ada.

"Selepas Diana, kami masih mempunyai Tan Cheong Min. Dia agak kuat kerana dalam dua tahun terakhir ketika Kejohanan Dunia dan Piala Dunia, dia meraih perak dan gangsa bagi kategori individu. Bagi acara duilian (koreografi tempur), dia mengutip emas. Jadi, kami lihat potensi masih ada," tambah Yew Fai.

Selain acara taolu, saingan wushu dalam Sukan SEA Filipina turut menyaksikan penambahan satu lagi kategori, iaitu sanda yang merupakan seni tempur.

Bagaimanapun, Yew Fai menjelaskan pemilihan atlet bagi acara itu akan ditentukan oleh jawatankuasa pemilihan WFM di samping pengambilan jurulatih yang berasingan.

Advertisement

Must Watch Video