Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: Skuad memanah sedia manfaatkan venue

nur-afisa-abdul-halil-110817.jpg
Skuad memanah negara yakin sudah memanfaatkan sebaik mungkin kesempatan berlatih di gelanggang rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur dalam usaha memastikan kilauan pingat emas, 16 Ogos ini.

Cabarannya lebih tinggi buat skuad recurve wanita untuk mengatasi pencapaian satu gangsa yang diraih di Singapura dua tahun lalu menerusi saingan berpasukan.

Sesi latihan hari ini adalah yang terakhir buat skuad memandah negara di gelanggang rasmi pertandingan.

Secara keseluruhan, mereka menjalani latihan selama tiga minggu selain mengharungi dua sesi simulasi pertandingan.

Kini, mereka perlu kembali menjalani latihan di tempat asal dengan delegasi teknikal temasya akan melakukan pemeriksaan terhadap venue itu esok.

Berita baik buat skuad negara adalah gelanggang itu tidak akan dibuka kepada mana-mana negara lain yang berminat untuk menjalani latihan.

Tumpuan kini terarah kepada skuad compound kerana mereka terlebih dahulu membawa cabaran negara, 16 Ogos nanti.

"(Kesempatan) berlatih di sini amat berpuas hati untuk kami semua.

"Kami sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di venue ini.

"Kami berharap dapat memberikan aksi terbaik dalam Sukan SEA nanti," ujar atlet wanita compound kebangsaan, Saritha Cham Nong. 

Pemanah compound lelaki negara, Zulfadhli Ruslan, turut senada dengan berkata: "Ia satu kelebihan buat kami kerana dapat mencuba gelanggang ini lebih awal berbanding pemanah negara lain. 

"Kami akan menggunakan kelebihan itu untuk menjelmakan emas."

Dalam perkembangan lain, atlet recurve negara, Nur Afisa Abdul Halil, turut mengharapkan aksi cemerlang dapat dipamerkan di venue berkenaan pada hari pertandingan nanti.

"Berdasarkan dua sesi simulasi pertandingan yang dilakukan, keadaan di sini agak berangin. 

"Insya-Allah saya akan cuba lakukan yang terbaik bersandarkan pengalaman di sini," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video