Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad lelaki azam pertahankan emas tradisi

040217-pemain-boling-negara-ahmad-muaz-fishol.jpg
Pemain boling negara, Ahmad Muaz Fishol, mahu memastikan pingat emas berpasukan lelaki terus menjadi milik Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos nanti. 

Edisi 2015 di Singapura menyaksikan pembabitan sulung Muaz di pentas Sukan SEA apabila dia meraih dua emas menerusi acara trio di samping lima sepasukan. 

Acara berpasukan menyaksikan penguasaan Malaysia dengan tiga kali menggondol emas sepanjang enam kali boling dipertandingkan di peringkat Sukan SEA. 

Mengakui Singapura dan Thailand pastinya menampilkan ancaman lebih hebat kali ini, Muaz tidak rela Malaysia kecundang, apatah lagi beraksi di laman sendiri. 

Pada masa yang sama, dia turut mengintai peluang dalam saingan individu yang pastinya akan dipertahankan rakan sepasukan, Rafiq Ismail. 

"Acara berpasukan lelaki adalah pingat emas paling penting untuk dipertahankan kerana kita sudah menguasai acara ini sejak sekian lama. 

"Saingan kali ini pasti lebih mencabar kerana pasukan negara lain akan mengetengahkan ramai pemain muda," katanya. 

Ketika ini, 18 pemain boling negara yang terdiri daripada lapan atlet lelaki dan 10 wanita berada dalam fasa kedua Program Kita Juara. 

Namun, jumlah itu akan dikurangkan kepada 12 pemain, enam masing-masing bagi lelaki dan wanita apabila barisan kejurulatihan yang diketuai Holloway Cheah bakal membuat penilaian terhadap prestasi anak buahnya. 

Lantas, dua kejohanan, iaitu Piala Emir di Qatar dan Terbuka Jerman pada hujung bulan ini bakal menjadi pentas terbaik buat Muaz mengukuhkan kedudukannya. 

"Buat masa ini, kami berlatih seperti biasa. 

"Dari segi persiapan, kami akan dapat mengukur kemampuan sebenar kami ketika menyertai kejohanan pada hujung bulan ini."


Advertisement

Must Watch Video