Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad chinlone berlatih tanpa karpet

chinlone.jpg
Skuad chinlone negara terpaksa berdepan dengan isu penyesuaian gelanggang apabila hanya mempunyai masa empat hari untuk menguji venue di Stadium Titiwangsa sebelum saingan sebenar membuka tirai 16 Ogos ini.

Skuad negara sedang mencuba venue pertandingan di Stadium Titiwangsa, namun latihan mereka dijalankan di atas permukaan tanpa karpet sepertimana yang akan digunakan pada waktu pertandingan nanti.

Difahamkam, karpet hanya akan dipasang pada 7 Ogos ini dan mereka hanya boleh kembali menggunakan venue itu lima hari kemudian.

Ini bermakna mereka hanya ada masa empat hari bagi menyesuaikan diri dengan karpet baru.

"Kalau kami dapat berlatih di atas karpet baru, pemain dapat mempamerkan tahap sebenar mereka. Ini kerana sesi latihan di Myanmar turut menggunakan karpet. Penggunaan karpet dalam sukan chinlone sangat penting. 

"Permukaan yang digunakan ketika ini agak licin tetapi pemain saya masih mampu meneruskan sesi latihan seperti biasa," ujar ketua jurulatih chinlone negara, Mohd Yusoff Abdullah.

Skuad negara dicanang untuk menjadi penyumbang emas pertama bagi Sukan SEA kali ini menerusi acara linking.

Bagaimanapun, Yusoff percaya anak buahnya mampu menyumbang lebih daripada itu berdasarkan prestasi mereka ketika sesi latihan.

"Selain linking, ada empat lagi acara -- acara 1, 2 dan 4 -- dan Thailand sememangnya pasukan yang kuat dalam acara 1 tetapi pemain kami telah pun menampakkan kualiti ketika sesi latihan, jadi kami yakin dengan peluang yang ada," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video