Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad boling padang tekad pamer kebangkitan

petanque.jpg
Sukan boling padang kembali dipertandingkan selepas 10 tahun dipinggirkan dalam Sukan SEA.

Dalam kemunculan semula sukan ini dalam temasya pada bulan depan, Malaysia menyasarkan empat pingat emas sebagai penanda aras kebangkitan barisan atlet boling padang negara.

Ia adalah sasaran yang relevan memandangkan skuad negara sudah berkelana ke Australia dan New Zealand untuk menguji kemampuan diri.

Mempertaruhkan beberapa pemain senior, antaranya pemenang pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002 dan Melbourne 2006, Siti Zalina Ahmad bertekad untuk menamatkan kemarau emas dalam Sukan SEA selepas kali terakhir dia dikalungkan emas dalam temasya 1999 di Brunei.

"Kalau ikutkan saya punya sejarah dalam Sukan SEA memang tidak berapa baik apabila sekali sahaja saya berjaya bawa pulang pingat emas iaitu di Brunei 1999," ujarnya.

Dalam Sukan SEA Korat, Thailand 10 tahun lalu, Malaysia berjaya meraih empat pingat emas daripada enam kategori yang dipertandingkan.

Untuk Sukan SEA bulan depan, sebanyak lapan pingat emas ditawarkan bagi empat kategori lelaki dan wanita, iaitu perseorangan, regu, trio dan empat sepasukan.

"Kalau berdasarkan prestasi selepas menjalani latihan di Afrika, persembahan kami agak baik," kata atlet lelaki, Safuan Said.

Gelanggang boling padang yang terletak di Kompleks Sukan Bukit Kiara mengalami transformasi selepas ia bakal dijadikan venue untuk temasya itu.

Dua gelanggang terbuka dan satu gelanggang berbumbung disediakan bagi penganjuran sukan dwi-tahunan itu.

Rata-rata barisan atlet dan kejurulatihan skuad boling padang negara memuji permukaan gelanggang yang baru dibaik pulih.

"Kami tidak bernasib baik kerana hanya dapat menggunakan pusat latihan baru-baru ini tetapi kami menggunakan sebaik mungkin program latihan di venue lain," jelas ketua jurulatih, Simon Botha.

Advertisement

Must Watch Video