Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Sheeren kesuntukan masa untuk pulih

sheeren-samson.jpg
Kuartet 4x100 meter wanita negara menerima tamparan menjelang Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di India apabila Shereen Samson Vallabouy mengalami kecederaan hamstring ketika berlatih di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Shereen selaku pelari pertama mengalami kecederaan ketika sesi memanaskan badan.

Kuartet negara yang dibarisi Shereen, Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli sepatutnya menjalani sesi latihan penuh untuk menguji catatan masa.

Mereka dijadual berlepas ke India, lusa, sekaligus bermakna Shereen kesuntukan masa untuk pulih.

"Saya dapat rasa ketegangan di bahagian lutut kemudian apabila saya membuat larian saya dapat rasa kesakitan. Mungkin saya tidak bertanding dalam ATF," jelas Shereen.

Kuartet negara memecah rekod kebangsaan dengan catatan 45.19 saat ketika merangkul pingat emas Terbuka Thailand, dua minggu lalu.

Catatan itu sepatutnya mampu membawa Malaysia ke final ATF.

Begitupun, pelari senior tidak panik dengan perkembangan ini.

"Bagi kami, ia bukan satu masalah. Ia terletak kepada atlet itu sendiri untuk kembali pulih. Kami masih ada atlet simpanan," ujar Fatimah.

Zaidatul turut senada kerana yakin Shereen masih mempunyai masa untuk pulih.

"Kami akan beri dia dorongan kerana dia masih mempunyai masa untuk pulih. Bukan tidak risau, sebaliknya enggan dia berasa kecewa dengan apa yang berlaku," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video