PETANQUE
Sukan SEA: Senarai akhir petanque terus jadi tanda tanya
Ketua jurulatih skuad petanque negara, Zani Lisa Mohamed, masih belum membuat keputusan muktamad mengenai pemain negara yang akan disenaraikan bagi acara triple lelaki dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan depan.
Buat masa ini, skuad petanque negara sudah memuktamadkan senarai atlet bagi semua acara kecuali acara triple lelaki.
Mereka mempunyai lima calon dan Zani akan menggugurkan salah seorang daripada lima atlet yang masih menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan.
Iklan
Salah seorang atlet yang terlibat, Mohd. Hakim Ahmad Sabre, berharap pengalamannya di Singapura dua tahun lalu mampu memberi kelebihan kepadanya untuk disenaraikan.
"Peluang untuk beraksi itu ada dan jika dilihat pada persediaan. Saya sudah bersedia kerana sudah menyertai banyak kejohanan," ujar Hakim.
Bagi Azfar Haris Mohd. Aziz, dia meletakkan impian tinggi walaupun sedar dia masih cetek pengalaman jika dibandingkan dengan empat nama lain.
Baginya, itu tidak menggugat keyakinannya untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam setiap sesi latihan dan berjanji untuk mempamerkan aksi terbaik jika disenaraikan.
"Saya berazam untuk mempamerkan aksi terbaik jika dipilih, lebih-lebih lagi penutup akan dijalankan pada 30 Ogos, jadi saya mahu menyumbangkan sesuatu yang bermakna buat negara," kata Azfar.
Tiga lagi atlet yang turut bersaing adalah Azrul Safi Othman, Mohd Shurki Mohd dan Ahmad Safwan Safi.
Must-Watch Video