Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: Salam, Indran mahu gapai kejayaan demi keluarga

salam-r-indran-tinju-150817.jpg
Atlet tinju negara, Abdul Salam Kassim, mengimpikan pingat dalam penampilan sulung dalam Sukan SEA Kuala Lumpur untuk membanggakan arwah ibu bapanya.

Salam, yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak bakal beraksi dalam acara flyweight 52 kilogram.

Pada awalnya, pembabitan Salam dalam sukan tinju tidak mendapat restu arwah ibu bapanya, Kassim Mohamad dan Fatimah Jusoh, yang mahukan dia fokus terhadap pelajaran, tiga tahun lalu.

Begitupun, ketika hayat mereka, Kassim dan Fatimah tidak pernah menghalang Salam membina karier dalam bidang sukan, malah turut hadir di tepi gelanggang memberikan sokongan.

"Sukma tahun lepas, ibu saya masih ada lagi. Dia tidak sihat pada masa itu tetapi tetap memberi sokongan dan semangat sehingga menjadi pendorong untuk saya memenangi emas,” katanya.

"Ayah pula tidak sempat melihat (kejayaan saya) kerana dia sudah tiada ketika saya baru bermula dengan sukan tinju dua tahun lalu.”

Turut berkongsi harapan ialah seorang lagi peninju, R. Indran, yang tidak menyangka hobi yang bermula lima tahun lalu kini bertukar menjadi satu karier serius buatnya.

Hasil ajakan rakan ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bakatnya dikesan jurulatih, Azmi Yunus.

Indran akan beraksi dalam kategori middleweight 75 kilogram.

"Jika berjaya meraih emas, itu adalah rezeki saya. Saya mahu membanggakan keluarga dan jurulatih saya,” kata Indran.

"Bapa saya, walaupun sudah berusia 60 tahun, masih lagi bekerja di kampung.

"Kami orang susah dan dalam Sukan SEA inilah, saya mahu cuba memberikan yang terbaik."

Advertisement

Must Watch Video