Skip to main content

Hoki

Sukan SEA: Najmi tiada masalah sesuaikan diri

hoki-dalam-dewan-040817.jpg
Jurulatih skuad hoki dalam dewan negara, Mohd Amin Rahim, memanggil pemain pertahanan skuad hoki padang, Muhd Najmi Farizal Jazlan, untuk menyertai skuadnya dalam misi untuk menggapai emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur. 

Najmi merupakan tonggak The Malaysian Hockey Tigers dalam kempen separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu. 

Selain Najmi, turut tersenarai dalam 12 pemain akhir skuad hoki dalam dewan adalah Syed Mohd Syafiq Syed Cholan dan Norsyafiq Sumantri. 

Biarpun Najmi lambat menyertai skuad negara kerana sebelum ini terlibat dengan kempen negara di London, dia dapat segera menyesuaikan diri dengan taktikal dan peraturan hoki dalam dewan yang mempunyai perbezaan dengan hoki padang. 

"Dari segi bilangan pemain, memang perubahan besar. 

"Selepas berlatih selama sebulan, tiada masalah untuk saya menyesuaikan diri.

"Justeru, saya akan memberikan aksi terbaik untuk negara," kata Najmi. 

Bagi memantapkan lagi persiapan untuk menghadapi Sukan SEA, skuad negara telah mengatur lima siri perlawanan persahabatan bersama skuad hoki Australia Barat, bermula 7 Ogos ini. 

"Kita adalah kuasa besar dalam kancah hoki di rantau ini. 

"Tetapi bagi acara hoki dalam dewan ini, kita tidak boleh dilabel sebagai pasukan pilihan. 

"Negara seperti Indonesia dan Thailand sudah bermula awal dalam sukan ini. 

"Namun, saya yakin dengan kebolehan serta kemahiran teknikal dan fizikal pemain negara, kita mampu memberi saingan kepada kedua-dua pasukan itu," kata pengendali negara itu. 

Skuad negara akan bertemu Filipina serta Vietnam pada hari pembukaan saingan Sukan SEA, disusuli aksi bertemu Thailand, Indonesia serta Singapura di Dewan 4, MITEC.

 

Advertisement

Must Watch Video