Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: KRM puas perubahan dilaksanakan Stadium MBPJ

15717mazuri.jpg
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berpuas hati dengan perubahan dilaksanakan terhadap Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena penganjuran acara ragbi 7 sepasukan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan depan.

Stadium MBPJ yang sinonim dengan penganjuran perlawanan bola sepak Liga Malaysia mengalami transformasi yang lebih mesra untuk penganjuran ragbi 7 sepasukan.

Ia dilihat medan ujian terbaik menguji kesemua aspek teknikal memandangkan Stadium MBPJ akan dijadikan venue untuk acara ragbi bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ini kerana pihak penganjur memberi penekanan utama terhadap kelancaran aturcara seperti skrin papan mata yang berfungsi dan aturan jadual setiap pasukan mengikut waktu ditetapkan.

"Malaysia Rugby mengutamakan masa penganjuran dan bagaimana untuk mengendalikan penonton. Kami menjangkakan ramai penyokong yang akan membanjiri stadium," kata Pengurusi Besar KRM, Mazuri Sallehudin.

Sebanyak lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita dari Asia Tenggara menghantar penyertaan dalam kejohanan ini.

Kejohanan Pra-Sukan SEA yang berlangsung hari ini menyaksikan tiada wakil kebangsaan menyertainya, namun masih meriah dengan kelibat beberapa kelab tempatan seperti Keris Conlay dan NS Wanderers.

"Venue ragbi kini berada pada tahap 90 peratus untuk siap sepenuhnya dan saya yakin ia dapat disiapkan sebelum bermulanya Sukan SEA," kata pengurus pasukan ragbi Malaysia, Wan Ibrahim Wan Chik.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video