Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Komalam hampir pasti digugurkan

8817salim.jpg
Status penyertaan pelari pecut wanita negara, S. Komalam Shelly, dalam Sukan SEA Ke-29 dilihat samar ketika berlangsung proses perbicaraan mengenai kedudukannya di Majlis Sukan Negara (MSN), sebentar tadi.

Perkara itu diakui pengurus pasukan olahraga negara, Datuk Salim Parlan, dengan menganggap pengguguran Komalam yang beraksi dalam skuad kuartet sudah dimuktamadkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).   

"Pada ketika ini, KOM telah menggugurkan pelari pecut, Komalam Shelly, dan dia kemudiannya membuat rayuan untuk mempertimbangkan keputusan itu.

"KOM sekali lagi menjawab dengan mengekalkan keputusan untuk menggugurkannya daripada pasukan olahraga," katanya. 

Komalam adalah antara pelari utama dalam skuad 4x100 meter negara, dan selepas ditanya mengapa tindakan itu diambil 11 hari sebelum Sukan SEA berlangsung, ini komen Salim: "Satu sahaja, jangan keruhkan keadaan sebelum kita menghadapi Sukan SEA beberapa hari lagi. 

"Cukup saya katakan penggugurannya adalah berdasarkan kepentingan keseluruhan pasukan olahraga negara." 

Turut ditanya mengenai punca pengguguran tersebut, dia berkata: "Saya akan memberi kenyataan kepada jawatankuasa bebas yang telah ditubuhkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Selepas itu, saya akan maklumkan perkembangan dengan apa yang berlaku menuju kepada penggugurannya."   

Jawatankuasa bebas dipengerusikan oleh Naib Presiden MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib, sedang bersidang bersama Naib Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, dengan beberapa atlet dan jurulatih sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Advertisement

Must Watch Video