Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: Khairulnizam terima suntikan daripada UiTM

2817khairulaffendy.jpg
Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy menerima suntikan semangat untuk menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila menerima insentif berjumlah RM32,000 daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Khairulnizam antara prospek emas bagi sukan pelayaran dalam temasya KL2017.

Diletakkan sasaran untuk memenangi acara laser standard lelaki dan berpasukan, Olimpian 2016 itu meraih tonik terbaik untuk melunaskan misi emas apabila UiTM meluluskan peruntukan kepadanya untuk membeli bot baru.

Majlis penyerahan insentif itu diwakili adiknya, Khairuneeta Mohd Affendy, yang akan turut membawa cabaran negara dalam temasya kali ini.

" Khairulnizam turut menerima insentif yang mampu mendapatkannya bot baru bagi menghadapi saingan Sukan SEA. Ia sedikit-sebanyak meningkatkan moral kami semua untuk memberikan yang terbaik," kata Khairuneeta.

Khairulnizam, yang juga penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreaksi UiTM Perlis, kini berada di Croatia untuk membuat persediaan menghadapi KL2017.

Selain Khairulnizam, 34 atlet UiTM lain pula menerima insentif wang saku, antaranya penembak negara, Ezuan Nasir Khan, atlet petanque, Syed Akmal Fikri Syed Ali, dan atlet olahraga, Muhammad Aqil Yasmin.

"Insentif yang diberikan akan memberi sokongan buat saya untuk beraksi dengan cemerlang dalam Sukan SEA," kata Syed Akmal Fikri.

"Saya percaya atlet-atlet yang beraksi dalam Sukan SEA mampu membantu Malaysia meraih pingat emas," kata Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Advertisement

Must Watch Video