Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Ju Pha yakin emas acara trek

ju-pha.jpg
Atlet berbasikal negara, Ju Pha Som Net, mahu membei fokus memburu peluang mendapatkan pingat dalam saingan trek berbanding lebuhraya meskipun dia disenaraikan dalam kedua-dua acara berkenaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Tiada acara trek dipertandingkan di Singapura dua tahun lalu, menyaksikan Ju Pha meneruskan cabaran negara dalam saingan lebuhraya.

Meskipun meraih gangsa dalam acara kriterium, kali ini dia berasakan peluangnya lebih cerah memburu emas acara omnium dalam saingan trek.

Keyakinan itu berdasarkan persembahan cemerlangnya dalam Kejohanan Klasik Antarabangsa Taiwan dan Siri Piala Trek Satu dan Dua di Jepun, Jun lalu.

"Jika berjaya menaiki podium dalam (perlumbaan) lebuhraya, sememangnya itu satu bonus tetapi dalam acara omnium, saya menyasarkan pingat emas," katanya.

Secara keseluruhan, skuad berbasikal memasang impian besar dalam temasya kali ini dengan menyasarkan emas dalam kesemua 13 acara trek.

Malah, penyertaan juara dunia keirin, Azizulhasni Awang, turut menjadi tumpuan bagi merealisasikan sasaran berkenaan.

Pengurus skuad berbasikal negara, Omar Saad, percaya segala persediaan yang telah diharungi, termasuk kem latihan di Melbourne sebelum ini, dapat memastikan kejayaan mutlak buat negara.

"Barisan jurulatih telah mengenal pasti acara trek akan menyumbang lebih pingat berbanding jalan raya. Saya harap atlet turut bersemangat bagi melunaskan sasaran tersebut," jelas Omar.
 

Advertisement

Must Watch Video