Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: FAM jawab isu atlet futsal langgar perintah berkurung

nina-azman-futsal-090717_1.jpg
Seorang lagi atlet yang dikaitkan dengan isu melanggar perintah berkurung kem akhir kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur, Nur Izwani Azman, atau lebih dikenali sebagai Niena Azman yang merupakan penjaga gol futsal wanita negara, terlepas daripada hukuman pengguguran.

Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menyebut terdapat percanggahan dengan dakwaan Niena, 30, dilihat berada di lobi hotel penginapan selepas jam 11.30 malam.

Beliau menjelaskan Niena sebenarnya tidak melanggar perintah berkurung keluar dari bilik melebihi jam 11.30 malam sewaktu kem fasa akhir perhimpunan atlet Malaysia di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada Jumaat lalu seperti yang didakwa.

Siasatan FAM dengan penjelasan daripada pemain itu sendiri serta ketua jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Muizzudin Haris, dan pengurus pasukan, Shafizah Umamah Abdul Mutalib, berserta bukti rakaman kamera litar tertutup mendapati bahawa Nur Izwani telah pun meninggalkan lobi hotel selepas berjumpa saudaranya dan menuju ke lif pada jam 10.55 malam untuk naik ke biliknya.

Ia sama sekali bercanggah dengan aduan dan dakwaan yang dibuat pihak tertentu sebelum ini yang menyatakan bahawa Nur Izwani dilihat masih berada di lobi hotel berkenaan pada sekitar jam 12.30 tengah malam.

Justeru, FAM berasa kesal dengan tuduhan tersebut yang mendorong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, membuat kenyataan media kelmarin bahawa terdapat dua atlet negara, iaitu daripada sukan futsal dan badminton, yang telah melanggar perintah berkurung.

Bukti rakaman kamera litar tertutup juga mendapati bahawa pergerakan terakhir Nur Izwani masuk ke dalam biliknya adalah pada jam 11.11 malam, yang jelas sama sekali tidak melanggar peraturan perintah berkurung keluar dari bilik melebihi jam 11.30 malam.

Hamidin menghubungi sendiri Beng Choo bagi menjelaskan apa yang berlaku ini dan akan menghantar surat penjelasan kepada beliau bagi memastikan perkara atau isu ini tidak terus dipanjangkan di dalam media.

FAM juga mengesahkan bahawa nama Nur Izwani masih berada dalam senarai 16 pemain akhir skuad futsal wanita kebangsaan untuk beraksi dalam Sukan SEA.

Acara futsal akan berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam dari 18 hingga 27 Ogos.

Malah, ketua jurulatih, Muizzudin, turut berpuas hati dengan tahap disiplin Nur Izwani di dalam dan luar gelanggang sepanjang bersama skuad futsal wanita kebangsaan.

Chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Marina Chin, ketika diminta mengulas mengenai isu ini berkata: "Kalau dia pertama kali melanggar peraturan, maka berbaloilah untuk diberi amaran. 

"Kalau dah banyak kali dilakukan, sudah tentu kami akan mengambil tindakan disiplin. 

"Pada ketika ini, saya tidak mendapat apa-apa fakta mengenai kes itu."

"Oleh itu, saya tidak boleh mengulas."
 

Advertisement

Must Watch Video