Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Komanwel: Wee Wern mampu galas cabaran

wee-wern-010717.jpg
Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengambil risiko membariskan pemain wanita, Low Wee Wern, dalam senarai cadangan atlet ke Sukan Komanwel Gold Coast, April depan meskipun pemain itu diselubungi kecederaan lutut sejak tiga tahun kebelakangan. 

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam, mempertahankan penyenaraian Wee Wern kerana percaya dia masih antara pemain terbaik negara sungguhpun dihantui kecederaan berkenaan sejak 2015. 

Wee Wern merupakan sebahagian daripada sembilan nama daripada sukan skuasy yang dicadangkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan kata putus senarai akhir hanya akan ditentukan pada Jumaat depan. 

"Dia tersisih lama sebelum ini, namun dia menunjukkan perkembangan pesat dalam program pemulihan dan bekerja keras. 

"Apa yang saya lihat dalam sesi latihan, dia di landasan yang tepat untuk pulih. 

"Pemain muda dalam Sukan Komanwel nanti pasti akan mendapati cabaran sengit yang bakal ditampilkannya, dia adalah seorang pemain handalan," katanya. 

Sementara itu, Maniam juga mengulas tentang masa depan sukan itu yang bakal digugurkan dalam Sukan SEA Manila 2019. 

Ia susulan tuan rumah yang mahu membalas tindakan Malaysia mengetepikan acara tempur dalam sukan wusyu, apatah lagi skuasy dilihat lubuk emas buat kontinjen Malaysia. 

"Mereka tidak harus hanya melihat kepada konteks Malaysia semata-mata, lihatlah perkembangan skuasy di peringkat Asia. 

"Skuasy semakin berkembang, pemain skuasy Asia beraksi dengan baik di pentas dunia," tambahnya.

Selain Wee Wern, tiga lagi pemain wanita yang disenaraikan adalah pemenang pingat emas dan perak Sukan SEA, S. Sivasangari, Rachel Arnold selain Datuk Nicol David. 

Cabaran lelaki bakal digalas Ivan Yuen, Sanjay Singh, Ng Eain Yow, Nafiizwan Adnan dan Syafiq Kamal. 

 

Advertisement

Must Watch Video