Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Komanwel: Tiada sasaran pingat buat skuad ping pong

pingpong17118.jpg
Ketua jurulatih skuad ping pong negara, Beh Lee Wei, terpaksa menerima kenyataan terhadap kesukaran anak buahnya untuk cuba menyamai kejayaan yang pernah dilakarnya sewaktu bergelar atlet dalam Sukan Komanwel Glasgow empat tahun lalu.

Pencapaian terbaik skuad ping pong negara adalah di Glasgow 2014 apabila Malaysia meraih pingat perak menerusi acara berpasukan wanita.

Lee Wei adalah salah seorang pemain yang terlibat membantu pasukan sebelum bersara untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih.

Perbezaan ketara dilihat di antara skuad negara empat tahun lalu dan skuad semasa di mana kemaraan ke suku akhir sahaja menjadi objektif utama dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Lee Wei tidak menolak kehadiran pemain naturalisasi dari China yang mewakili negara seperti Singapura sebenarnya menenggelamkan atlet Malaysia.

"Dalam Sukan Komanwel kali ini tinggal pemain junior sahaja. Harapan saya untuk mereka dalam temasya itu adalah suku akhir.

"Tidak mahu bercakap mengenai pingat tetapi saya percaya mereka boleh beraksi baik," katanya.

Tambahnya, seramai tujuh atlet yang dipilih ke temasya itu bakal menjalani kem latihan selama sebulan di China pada Mac nanti.

"China adalah pilihan kami kerana mereka memiliki atlet handalan. Mereka juga mempunyai teknik yang paling terkehadapan di dunia," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video