Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Komanwel: Tiada kedudukan selesa buat atlet olahraga

zainalabas8118.jpg
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak menjanjikan kedudukan selesa buat 18 atlet yang disenaraikan ke Sukan Komanwel Gold Coast, April depan, kerana perubahan nama akan berlaku berdasarkan prestasi semasa sehingga Mac ini.

KOM mengesahkan senarai 18 atlet telah diserahkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini membabitkan 14 atlet lelaki dan empat wanita.

Bagaimanapun, ketua jurulatih KOM, Zainal Abbas, tidak pasti sama ada senarai nama tersebut akan kekal sehingga Mac untuk dimuktamadkan.

Ia termasuk penyertaan raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, yang juga masih dalam penilaian untuk kekal ke temasya sukan itu atau sebaliknya.

"Khairul Hafiz pun kami tidak tahu sama ada pergi ke tidak. KOM dalam mesyuarat tadi tidak menyatakan siapa yang dipilih walaupun dia memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Kula Lumpur. 

"Dalam ranking IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa), dia sedikit ke belakang," kata Zainal.

Bukan itu sahaja, katanya, senarai nama jurulatih juga belum dimuktamadkan, termasuk jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim, yang masih dalam proses pemulihan akibat jangkitan kuman di paru-paru.

"Ia bergantung kepada siapa atlet yang layak dan acara apa, barulah kami boleh tentukan jurulatih.

"Bagi jurulatih Poad, kita patut hormati keadaannya dan memberikan cukup masa untuk dia pulih
sepenuhnya tanpa memberikan tekanan tambahan," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video