Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Komanwel: Solihim tidak terkejut tiada dalam senarai

solihim89117.jpg
Pelari pecut para negara, Ahmad Solihim Mohd Nor, sudah menduga namanya tercicir daripada senarai enam atlet negara ke Sukan Komanwel 2018 dan berharap rayuan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan dipertimbangkan.

Tidak mengambil bahagian Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London tahun lalu menjadi punca utama mengapa Solihim gagal melayakkan diri.

Syarat teknikal itu menjadi halangan buat Solihim sekalipun catatan 11.58 saatnya menerusi 100 meter kategori T46/47 dalam Sukan Para ASEAN 2017 meletakkan dia dalam kelompok lima pelari terbaik dalam ranking Komanwel.

Dia kini hanya menunggu nasib menyebelahi dirinya dalam proses rayuan selain berharap ada atlet negara lain menarik diri.

"Saya tidak terkejut kerana saya tahu tahun lalu saya tidak menyertai Kejohanan IPC.

"Sekarang ini, saya ikut latihan dan bersedia, manalah tahu dapat menempatkan diri sementara menunggu rayuan," katanya.

Sementara itu, jurulatih olahraga para negara, Adnan Mat Ali, sedia membantu atlet berkenaan kerana berpendapat dia telah mempamerkan aksi terbaik sepanjang tahun lalu.

Malah, dia menyasarkan Solihim mampu menyumbang sebutir pingat berdasarkan prestasi semasanya selain dijangka boleh melakukan catatan di bawah 11.50s.

"Kami dalam usaha untuk melihat dia mewakili negara dalam Sukan Komanwel.

"Kalau mengikut ranking, dia berada dalam kelompok kelima atau keempat tetapi dia perlu berusaha keras lagi," katanya.

Advertisement

Must Watch Video