Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Komanwel: Prestasi semasa pengaruhi sasaran pingat

huang-ying-how.jpg
Belenggu prestasi yang melanda sukan yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel Glasgow  2014 akan mempengaruhi sasaran bagi kempen di Gold Coast, Australia, April depan. 

Sudah tiba masanya ukuran kejayaan sebenar dalam sukan temasya perlu dilihat daripada sudut berbeza. Itu pandangan chef-de-mission (CDM) negara, Huang Ying How, apabila membicarakan soal sasaran yang bakal diumumkan kontinjen negara. 

Temasya edisi 2014 menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tangga ke-12 dengan enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Ketika ini, tiga daripada empat sukan kecuali terjun yang menyumbang emas, iaitu badminton, skuasy dan angkat berat berdepan masalah prestasi. 

"Kami perlu melihat satu demi satu sukan berdasarkan jumlah masa dan pelaburan yang diperuntukkan, terutama sukan dalam Program Podium. 

"Kita perlu lihat sama ada sukan terbabit berkembang daripada segi prestij dan pencapaian. 

"Bukan Sukan Komanwel sahaja, malah Sukan SEA, Kejohanan Dunia selain kejohanan-kejohanan yang ada turut diambil kira. 

"Kita perlu melihat peningkatan. Misalnya, bukan secara tiba-tiba pemain di ranking nombor lapan dunia menyasarkan untuk memenangi emas," ujar Huang. 

Dalam masa sama, skuad Sukan Komanwel akan mendapat suntikan kejayaan daripada kontinjen Sukan SEA 2017 susulan Jeffri Ngadirin disahkan sebagai timbalan kepada Ying How. 

Dalam temasya KL2017, Jeffri merupakan timbalan CDM kepada Datuk Marina Chin yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan. 

"Sudah tentu setiap temasya adalah berbeza. 

"Saya mengharapkan kerjasama kepada CDM, terutama daripada semua pengurus pasukan untuk memastikan kontinjen negara dalam keadaan teratur serta diuruskan dengan baik sebagaimana dalam Sukan SEA tahun lepas," katanya.  

 

Advertisement

Must Watch Video