Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: Tiada jaminan emas buat pelayar negara

pelayaran9118.jpg
Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) sudah membayangkan saingan sukar apabila dua acara di mana pelayar negara mempunyai peluang meraih emas tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Setiausaha Kehormat MYA, Megat Fairuz Khairuddin, berkata ketiadaan acara optimis dan antarabangsa 420 memberi sedikit kesukaran buat persatuan itu menjamin sebutir emas kali ini.

"Dua acara kegemaran kita sekarang sudah bertukar dan tidak lagi wujud dalam Sukan Asia. Tidak boleh kata emas buat masa ini.

"Bagaimanapun, kalau ranking atlet negara bertambah baik selepas ini, kami boleh mengumumkan sasaran pingat," katanya.

Dalam temasya di Incheon empat tahun lalu, pelayar negara memperoleh satu emas menerusi Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz dalam saingan 420.

Bagaimanapun, pasangan negara itu yang akan beraksi dalam acara 470 tetap akan bersaing dan menjadi antara sandaran pingat negara di Indonesia.

Turut menjadi harapan ialah atlet pelayaran berpengalaman, Khairulnizam Mohd Afendy, yang meraih perak acara laser dalam Sukan Asia Incheon.

Dalam pada itu, atlet pelayaran negara akan menjalani latihan di Greece, Mac depan, sebagai persiapan ke Indonesia.

"Greece dipilih sebab dua perkara, pertamanya kami sudah ada tempat latihan di sana dan ia lebih murah berbanding tempat lain di Eropah," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video