Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) terpaksa akur dengan permintaan empat pemanah compound yang diketuai Mohd Juwaidi Mazuki yang ingin berlatih secara bersendirian menjelang Sukan Asia Indonesia, Ogos nanti.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat di antara persatuan-persatuan sukan kebangsaan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
"Kebanyakan pemanah terikat dengan komitmen kerja.
"Mereka merupakan golongan pekerja, bukannya pelajar atau seumpamanya. Kebanyakan daripada mereka sudah berumur dan bekerja selain menghadapi masalah keluarga.
"Jadi, kami mempertimbangkan permohonan mereka," kata Setiausaha Agung NAAM, Datuk Abg Hamid Hassan.
Sementara itu, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) membatalkan hasrat mencari jurulatih baru buat skuad negara.
Ia susulan prestasi baik yang ditampilkan pengendali negara, Azmi Md Yunus. Malah, beliau akan mendapat seorang penolong bulan depan.
"Kami tiada kekangan.
"Kami berasakan Azmi seorang jurulatih yang baik, cuma kami tambah bilangan rakan sepelatih.
"Oleh itu, skuad ini yang pada asalnya terdiri daripada empat atlet, kami sudah membariskan lapan atlet," ujar Timbalan Presiden PABM, Mohamad Iruwan Zulkifli.