Skip to main content

Sukan Lain

Skuad tenis senior negara dibubar

muliyadi18118.jpg
Demi kesinambungan masa depan tenis negara, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) mengambil keputusan untuk membubarkan program skuad senior. 

Ini bermakna tonggak negara seperti Jawairiah Noordin, S. Theivia, Syed Agil Syed Naquib dan Ahmad Deedat Abdul Razak tidak lagi berlatih sepenuh masa. 

Sebaliknya, khidmat mereka akan digunakan bagi saingan tertentu seperti Piala FED dan Piala Davis. 

Keputusan berat itu terpaksa diambil memandangkan peruntukan buat tenis dikurangkan selepas gagal mendapat tempat dalam program utama negara. 

"Ia adalah keputusan agak berat untuk membubarkan pemain senior kerana kami masih bergantung kepada mereka. 

"Begitupun, kami masih memerlukan mereka lagi, terutama dalam kejohanan terdekat. 

"Kami faham bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) juga dicatu. Jadi, kami mengharapkan bantuan lain yang boleh meneruskan program seterusnya. 

"Atlet menerimanya apabila saya maklumkannya," kata ketua jurulatih negara, Muliyadi Jamal. 

Situasi itu menyaksikan LTAM mengalihkan tumpuan penuh kepada pemain remaja yang diketuai bakat sensasi, Christian Didier Chin. 

Difahamkan, seramai 19 pemain berada dalam kelompok itu sebagai wajah baru tenis Malaysia, bermula dengan Sukan SEA 2019. 

"Pemain remaja harus berlatih bersungguh-sungguh dan kalau boleh, ada keputusan (yang baik) dalam kejohanan.

"Kami akan memberikan pendedahan kepada mereka," kata Muliyadi lagi. 

Advertisement

Must Watch Video