Skip to main content

Sukan Lain

Skuad hoki dalam dewan negara akan diuji Singapura

4717hokiindoor.jpg
Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara semakin bersemangat untuk membina legasi tersendiri dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Menuju detik 40 hari sebelum bermulanya kempen ini, mereka berkongsi perkembangan persiapan untuk misi memastikan kilauan pingat emas menjadi milik negara.

Kedua-dua pasukan negara itu kini giat menjalani perincian fasa akhir dengan perancangan mendapatkan sebanyak mungkin aksi kompetitif, termasuk menerima kunjungan Singapura, hujung bulan ini.

"Saya rasa tiada masalah siapa pun lawan kami. Ia satu pendedahan yang baik untuk kami tetapi pada hari perlawanan, kami akan menerapkan taktik dan strategi.

"Bagus juga Singapura menjadi lawan kami, agar kami mengenal pasti kelemahan mereka," kata jurulatih skuad wanita, Iman Gobinathan.

Kesempatan ini bukan sahaja perlu digunakan sebaik mungkin tetapi barisan kejurulatihan juga perlu bijak untuk tidak membenarkan lawan mengkaji strategi sebelum saingan Sukan SEA.

Reputasi Malaysia sebagai gergasi hoki Asia Tenggara tidak memberi kelebihan buat skuad hoki dalam dewan.

Keyakinan untuk merampas emas tidak boleh mengaburi kemampuan pesaing lain yang lebih pakar dalam acara ini.

"Saya boleh katakan, daripada aspek hoki kita memang lebih baik daripada negara lain. Cumanya negara seperti Indonesia dan Thailand telah pun memulakan sukan hoki dalam dewan ini lebih awal. Jadi, mereka ada kelebihan. 

"Tetapi saya yakin kami mampu memberi saingan selepas melihat perkembangan setiap pemain. Tidak mustahil kami akan mendapat pingat emas," kata jurulatih skuad lelaki, Amin Rahim.

Dua emas yang ditawarkan umpama permata yang tidak mampu dilepaskan dan pastinya skuad hoki dalam dewan negara mahu memilikinya.

Acara ini akan berlangsung dari 21 hingga 26 Ogos di Dewan 4, Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. 
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video