Skip to main content

Sukan Lain

Skuad bola keranjang para negara kekurangan pemain

bolakeranjangkerusiroda9118.jpg
Ketua jurulatih pasukan bola keranjang para negara, Lim Ming Lip, ketandusan pemain simpanan yang berkualiti untuk menghadapi kejohanan kelayakan Sukan Para Asia 2018 di Bangkok, Mac depan.

Ming Lip berkata dia memerlukan sekurang-kurangnya 13 pemain bagi memastikan tiada masalah dalam pertukaran, sebaliknya hanya dapat mengumpul 10 pemain.

Jelasnya, bilangan itu bukanlah tidak mencukupi tetapi adalah lebih sempurna sekiranya mempunyai pemain simpanan berkualiti yang mampu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Bola keranjang kerusi roda mempunyai kelas tersendiri, ada mata rendah, pertengahan dan tinggi. Kami tidak boleh tukar (pemain) sesuka hati.

"Perlu tukar mengikut kelas pemain masing-masing. Kalau tidak cukup pemain memang susah. Susah untuk tukar strategi," katanya.

Pemenang pingat perak Sukan Para ASEAN 2017 itu perlu memastikan kedudukan empat terbaik di Bangkok untuk melayakkan diri ke Sukan Para Asia di Jakarta dari 8 hingga 16 Oktober depan.

Sekiranya gagal, ia satu kerugian untuk Malaysia kerana tumpuan mereka pada tahun ini hanyalah kepada temasya sukan itu.

"Peluang itu tetap ada kerana kami antara pasukan yang berada dalam kelompok ketiga atau keempat terbaik.

"Kami akan cuba sebaik-baiknya untuk layak ke Sukan Asia. Pesaing kuat pastinya Taiwan, Thailand dan China," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video