Skip to main content

Sepak Takraw

Sepak Takraw: Format 15 mata tidak jejas prestasi -- Zarif Marican

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

zarif-marican-sepak-takraw.jpg
Tekong skuad sepak takraw negara, Zarif Marican Ibrahim Marican, menganggap perubahan yang berlaku dalam format kiraan mata tidak akan mengubah banyak aspek tetapi pemain negara peru menumpukan kepada servis supaya tidak melakukan kesilapan mudah.

Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) hari ini meluluskan sistem pengiraan baru 15 mata bagi setiap set dan bukannya 21 mata sebagaimana sebelumnya bagi kesemua kejohanan dan pertandingan sepak takraw berkuat kuasa 2 Februari tahun depan.

Mengulas mengenai perkara itu, Zarif Marican berkata kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir: "Format 15 mata memang agak cepat, jadi kami perlu memperbanyakkan latihan.

"Daripada segi servis, kita tahu tidak boleh silap langsung kerana jika sangkut, ia akan memberikan mata mudah kepada pihak lawan dan perlawanan akan tamat dengan lebih cepat."

Bercakap mengenai saingan Sukan Asia Hangzhou di China, yang akan membuka tirai pada 23 September ini, Zarif Marican berpendapat walaupun Thailand merupakan musuh utama untuk ditumbangkan, skuad negara juga tidak boleh memandang enteng terhadap pasukan lain, di mana setiap negara sudah mula mempamerkan peningkatan ketara dalam beberapa tahun ini.

"Kalau kita lihat sekarang ini, banyak negara sudah meningkat, jadi kami tidak boleh memandang mudah pasukan seperti Indonesia, Korea Selatan dan India.

"Mereka boleh menjadi pencabar baru selain Thailand," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video